Ping Anchorage Home | Hotels & Resorts Reservation

 

Logo Berita Harian

Sabtu, 31 Mac 2007

 

Menyusuri Sungai Marang

Pelancong dapat melihat haiwan seperti kera, monyet, memerang, tuntung serta spesies burung unik

TERENGGANU bukan saja kaya dengan seni budaya dan warisan malah mempunyai khazanah flora dan fauna terutama hutan paya bakau dan hutan hujan tropika yang menyimpan 1,001 keindahan.



Hampir semua daerah di negeri ini terletak di pesisir pantai yang mempunyai hutan paya bakau dan nipah yang mungkin biasa bagi penduduk setempat, tetapi tidak kepada pelancong asing.

Bagi pelancong asing hutan paya bakau dan nipah mempunyai keunikannya tersendiri dan ia perlu dihargai sebagai warisan alam semula jadi.

Justeru, aktiviti menyusuri hutan paya bakau dan nipah boleh dijadikan produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong asing serta tempatan untuk lebih menghargai khazanah dan kepentingannya dalam ekosistem alam semula jadi.

Langkah memperkenalkan keunikan hutan paya bakau dan nipah serta pendedahan terhadap kepentingannya turut diambil perhatian oleh beberapa agensi pelancongan dengan memasukkan pakej menyusuri sungai dan hutan paya bakau dalam pakej yang mereka sediakan.

Antaranya Agensi Pelancongan Ping Anchorage Sdn Bhd (Ping Anchorage) yang berpusat di Kuala Terengganu apabila menjadikan aktiviti menyusuri Sungai Marang sebagai tarikan utama pelancong ke Terengganu.


Pengarah Urusannya, Alex Lee, berkata pakej itu diperkenalkan kerana ia adalah satu daripada aset berharga negeri ini untuk didedahkan kepada masyarakat luar Terengganu terutama pelancong asing.

"Terengganu cukup bertuah kerana kaya dengan kepelbagaian sumber yang mampu dan boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan.

"Setiap pelancong kadangkala datang dengan niat berbeza. Ada yang suka membeli belah dan begitu juga yang suka kepada keunikan seni budaya.

"Bagi pelancong yang gemarkan aktiviti lasak dan cintakan alam semula jadi, mereka pasti mencari lokasi bagi mendapatkan apa yang dihajati dan Terengganu menjanjikan semua itu," katanya yang ditemui selepas membawa wartawan dan kumpulan pelancong dari China menyusuri Sungai Marang, baru-baru ini.

Beliau berkata, program itu mula diperkenalkan pada 1998 dan dimasukkan dalam pakej pelancongan syarikatnya sejak tahun lalu dan selepas diperkenalkan lebih 100 pelancong mengikuti pakej itu dan mereka berpuas hati dengan apa yang diketengahkan.

Katanya, program dimulakan sekitar jam 7.30 pagi hingga 9 pagi dan jika ia lambat dimulakan potensi untuk melihat haiwan seperti kera, monyet, memerang, tuntung serta spesies burung yang unik amat sukar.

Sementara itu, seorang daripada pelancong yang ditemui, Huang Cai Xiu, 72, menyifatkan program menyusuri sungai itu mampu memberikan pengalaman baru terutama kepada pelancong asing.

"Saya kagum dengan keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar dan terpelihara ini dan seharusnya dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Seorang lagi pelancong warga China, Tang Jian Hua, 44, berkata ini adalah kali pertama beliau datang ke Malaysia dan amat mengejutkan negara ini masih mempunyai kepelbagaian warisan alam semula jadi yang cukup unik dan menarik.

"Sebelum ini saya menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara moden yang biasa sama seperti negara lain yang pernah saya kunjungi," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera telekomunikasi di sebuah syarikat terkemuka di China, berkata warisan yang ada itu patut dikekalkan kerana ia mampu mendidik masyarakat untuk mencintai alam semula jadi.

Pakej menyusuri Sungai Marang diuruskan sendiri Ping Anchorage yang boleh dihubungi di talian 09-6262020 atau melayari laman web www.pinganchorage.com.my.

Bagaimana ke sana?

Untuk menyertai pakej menyusuri Sungai Marang, pengunjung dari Kuala Lumpur perlu ke Kuala Terengganu terlebih dulu yang mengambil masa perjalanan antara enam hingga lapan jam manakala dari Kuantan selama empat jam pemanduan. Dari Kuala Terengganu ke Marang, perkhidmatan pengangkutan disediakan Ping Anchorage.

FAKTA:

  • Pakej Menyusuri Sungai Marang diperkenalkan pada 1998

  • Dimasukkan dalam pakej pelancongan bermula 2006

  • Lebih 100 pelancong asing menyertai Pakej Menyusuri Sungai Marang

  • Program dimulakan sekitar jam 7.30 pagi hingga 9 pagi bagi membolehkan pelancong melihat haiwan seperti kera, monyet, memerang, tuntung serta spesies burung yang unik di Sungai Marang.

  •  

    Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.
    77A, Jalan Sultan Sulaiman, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.
    Tel : (609) 626 2020  Fax : (609) 626 2022 / 622 8093 E-mail :
    patrvl@tm.net.my
    (KPL/LN2117 / 209874W)

     

    other office  :  Kuala Lumpur  |  Penang  |  Kuantan  |  Kota Bharu

    COPYRIGHT © PING ANCHORAGE . ALL RIGHTS RESERVED